Pengerusinya, Khairy Jamaludin berkata, Pemuda BN perlu membawa pendekatan baru yang bersepadu dan melihat perjuangan parti untuk semua kaum.
Selain memperjuangkan kesejahteraan hidup dan hak kaum masing-masing, katanya, pergerakan itu perlu berganding bahu memperjuangkan semua kaum dan bukannya kaum tertentu sahaja.
"Tiada salahnya Pemuda MCA membawa masalah kemiskinan orang Melayu dan dadah di luar bandar dan Pemuda UMNO pula membangkitkan masalah kemiskinan orang Cina dan India.
"Tidak akan hilang kemelayuan Pemuda UMNO atau terhakisnya kecinaan Pemuda MCA jika kita memperjuangkan kesejahteraan hidup kaum lain kerana ini adalah matlamat BN bagi memastikan keselesaan hidup rakyat keseluruhannya," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Khemah Kerja Perdana Pergerakan Pemuda UMNO di Institut Latihan dan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik dekat sini hari ini.
Seramai 40 Exco dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian menghadiri khemah kerja tersebut.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.
Walaupun perjuangan Pemuda UMNO melepasi batasan kaum, tetapi kata Khairy, ia tidak sekali-kali menggadaikan prinsip dan perjuangan asal memperkasakan orang Melayu.
Sementara itu, Ahmad berkata, Biro Penerangan UMNO akan bekerjasama dengan sayap parti itu untuk menggerakkan 15,000 ketua pemuda cawangan di seluruh negara bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Melalui kerjasama itu, katanya, diharap semua ketua pemuda cawangan dapat mendekati dan menarik generasi muda supaya menyokong perjuangan UMNO.
"Selain itu, kita akan melaksana dan merangka program yang menggunakan media maya sebagai saluran dan pendekatan baru menarik golongan muda agar menyokong UMNO dan BN," katanya.