Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas kata Khairy, tumpuan seharusnya diberikan terhadap isu-isu sebenar seperti soal mempertikaikan hak raja-raja dan perlembagaan negeri, bukan melakukan serangan peribadi.
''Saya rasa ada banyak lagi isu yang perlu dijelas dan diterangkan. Ini bukan soal saya seorang, saya harap kita dapat tumpu pada isu sebenar'' katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon kerusi Pilihan Raya Parlimen Bukit Gantang di Dewan Perbandaran Taiping di sini hari ini.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Pemuda UMNO telah menggerakkan jentera bagi membantu kemenangan calon BN di kerusi tersebut.
''Kita sudah susun kempen yang tumpu kepada kesan segera terutama di kalangan generasi muda.
''Saya telah minta Pemuda elak apa-apa program atau kempen yang berbentuk konfrontasi, terlalu ghairah tetapi kita mahu mendekati golongan muda secara berkesan dan berhemah," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu akan menjalankan kerja-kerja kempen terutama di beberapa kawasan yang sebelum ini dikategorikan sebagai 'kelabu.'
''Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan ini dan kita harap dapat memberi penjelasan tentang isu-isu sebenar yang berlaku," kata beliau.
Dalam masa sama katanya, beliau telah mengarahkan semua Exco pergerakan itu 'turun padang' bagi membantu menguatkan kerja-kerja jentera parti.