Sunday, April 5, 2009

Muhyiddin, 'memacu' di Bukit Gantang, KJ juga muncul




Khairy Jamaluddin yang dipilih Ketua Pemuda Umno, hari ini menafikan andaian bahawa beliau tidak dialu-alukan dengan turun gelanggang berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Sekurang-kurangnya lapan program telah diaturkan untuk dihadiri beliau.

Pukul 10.30 pagi tadi, Ahli Parlimen Rembau itu menyaksikan perlawanan bola sepak pasukan MyTeam menentang DreamTeam di Matang.

Kemudian beliau bermesra dengan peserta-peserta Bengkel Motosikal di pekarangan Bilik Gerakan Induk Pemuda BN.

Selain itu Khairy juga mengadakan pertemuan dengan pengundi-pengundi muda di kawasan Trong.

Dalam pada itu, ketika tinggal dua hari menjelang hari pengundian, parti-parti politik yang bertanding pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang menggunakan cuti mingguan hari ini dengan jadual program berkempen yang agak ketat.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghabiskan masanya di Batang Ai semalam, memulakan kembali tumpuan beliau di kawasan Bukit Gantang sejak tengah hari tadi.

Petang ini, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan masyarakat India di kawasan Simpang dan tiga pertemuan dengan pengundi-pengundi Cina di Simpang dan Kuala Sepetang.