Oleh : Muda Mohd Noor
Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya kini menyedari bahawa program-program yang dianjurkan oleh pergerakan itu sebelum ini adalah ‘program syok sendiri'.
"Kita buat program untuk orang yang sama, orang yang sudah totok sokong Umno dan BN," katanya ketika melancarkan program exco turun padang di Rawang malam tadi.
Walaupun hujan lebat, majlis tersebut mendapat sambutan hebat dengan dihadiri kira-kira 500 ahli Pemuda Umno bahagian Selayang.
Selain Khairy, hadir sama ialah Naibnya, Datuk Razali Ibrahim dan bebaterapa exco pergerakan itu.
Sehubungan itu, Khairy berkata, fokus utama pergerakan itu untuk memperkuatkan parti ialah dengan mendekati golongan muda dan yang tidak berparti.
"Jadi kita kena keluar dari kepompong untuk menemui mereka yang selama ini tidak bersama dengan kita.
"Kerana dalam pilihanraya umum saluran anak muda iaitu saluran empat, lima dan enam tidak mengundi BN," katanya.
Khairy berkata, beliau akan mewujudkan satu hal ehwal khas untuk orang muda terutama di Lembah Kelang.
Katanya, jawatankuasa itu akan memberi perhatian terhadap ekonomi, jenayah, perumahan, penjaja kecil dan keselamatan mereka.
"Kepada rakyat yang terpinggir, yang tidak ada masa depan sebagai pelanggan utama kita," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau akan melantik ketua Pemuda Umno negeri tidak berapa lama lagi.
"Minggu depan saya akan melantik setiausaha, bendahari dan ketua penerangan Pemuda Umno sebelum pelantikan ketua Pemuda negeri dibuat," katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata pelantikan naibnya, Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam kabinet sebagai satu pengiktirafan kepada Pemuda Umno.
Mukriz yang mencabarnya bagi jawatan ketua Pemuda, dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarangbangsa dan industri, manakala Razali dilantik sebagai timbalan menteri belia dan sukan.
Program pertama
Ditanya mengenai dirinya yang tidak dilantik dalam kabinet, Khairy berkata: "Kalau semua pemimpin berada dalam kerajaan, siapa yang hendak jaga parti.
"Saya meminta ahli Pemuda menerimanya dan jangan membuat spekulasi dan cerita yang bukan-bukan,"katanya.
Khairy juga mengulangi bahawa beliau tidak dipilih menganggotai kabinet kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan beliau memimpin pergerakan Pemuda sepenuh masa.
Katanya, ini pendekatan yang baik kerana bukan semua pemimpin perlu berada dalam kerajaan.
Khairy sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak kecewa kerana tidak dipilih dalam kabinet Najib walaupun memenangi jawatan ketua Pemuda Umno.
Difahamkan program anjuran Pemuda Umno bahagian Selayang itu merupakan yang pertama selepas Khairy memenangi jawatan ketua Pemuda Umno akhir bulan lalu.
Dalam ucapannya juga, Khairy menjelaskan bahawa Najib telah memanggilnya Rabu lalu untuk memintanya memberi tumpuan khas kepada usaha meningkatkan sokongan kepada parti dan BN.
Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya.
"Sayaakan bekerja keras untuk kebaikan parti. Saya buat ikrar depan presiden bahawa Pemuda akan bersama saya.
"Bukan mudah hendak menawan pengundi muda dan pengundi atas pagar. Kita kena buktikan Umno boleh memimpin bukan sahaja orang Melayu tetapi juga orang Cina dan India.
"Bukan setakat jaga ahli parti (Umno) tetapi juga yang tidak berparti dan pengundi atas pagar," katanya.