Tuesday, April 7, 2009

KJ - Jentera Pemuda BN berdisplin, Pilihanraya kecil Bukit Selambau, Batang Air dan Parlimen Bukit Gantang .





Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah dan Batang Ai, Sarawak berlangsung serentak hari ini setelah pusat-pusat pengundian dibuka pukul 8 pagi ini.

Ahli-ahli Pemuda Barisan Nasional (BN) sentiasa menjaga disiplin sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Batang Air dan Parlimen Bukit Gantang.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin memberitahu, sebaliknya pembangkang yang sering mencetuskan provokasi terhadap BN termasuk ketegangan yang berlaku di DUN Bukit Selambau semalam.

Menurut kata Khairy, “Ini berdasarkan beberapa insiden yang ditimbulkan oleh pembangkang sehingga memaksa BN membuat banyak laporan polis berikutan kejadian tersebut”.

Di Bukit Gantang, calon Barisan Nasional (BN) Ismail Saffian menghadapi bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Pertandingan di Bukit Selambau pula mencatat sejarah dengan 15 calon bersaing iaitu calon BN Datuk S. Ganesan menghadapi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S. Manikumar serta 13 calon Bebas.

Pilihan raya di Batang Ai pula menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon BN Malcom Mussen Lamoh dan Jawah Gerang daripada PKR.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, dengan majoriti pengundi Melayu diikuti pengundi Cina dan India manakala Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi, dengan majoriti pengundi Melayu, diikuti India dan Cina.

Kerusi Batang Ai mempunyai 8,006 pengundi, kebanyakannya kaum Iban yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Pilihan raya di Bukit Gantang dan Batang Ai diadakan ekoran kematian penyandang kerusi masing-masing iaitu Roslan Shaharum (PAS) dan Datuk Dublin Unting Inkot (BN) manakala di Bukit Selambau ekoran peletakan jawatan penyandang, V. Arumugam (PKR).

Kebanyakan pusat pengundian dijadual ditutup pukul 5 petang, dan keputusan pilihan raya dijangka diketahui seawal pukul 9 malam.